Tuesday 25 June 2013

Tamadun Hwang Ho


Tamadun Hwang Ho

Lokasi
Seperti dalam tamadun awal yang lain, sungai juga menjadi nadi utama dalam pembentukan tamadun Hwang Ho. Tamadun ini muncul daripada kesuburan tanah yang terdapat di Hwang Ho atau Sungai Kuning. Hwang Ho merupakan sungai kedua panjang di China (5654km) dan terletak di bahagian utara negara China. Sungai ini mengalir dari kawasan tanah tinggi di barat ke Teluk Bo Hai di sebelah timur. Lokasi tamadun ini jauh daripada pusat-pusat tamadun yang lain. Ciri-ciri fizikalnya yang bergunung-ganang dan berpadang pasir menyebabkan tamadun ini unik dan bersifat setempat.
 
 
                                                 Peking Men
 
Kerangka masa
Manusia terawal di China ialah Peking Men yang dipercayai hidup pada sekitar tahun 400 000 S.M.. Ini membuktikan wujudnya kehidupan Zaman Paleolitik di China. Zaman Neolitik di China pula muncul pada sekitar tahun 5000 S.M. apabila masyarakat China mula melibatkan diri dalam aktiviti pertanian dan penternakan.
Dinasti beraja pertama di China ialah Dinasti Hsia yang dipercayai bermula pada sekitar tahun 2205–1766 S.M., diikuti dengan Dinasti Shang (1766–1050 S.M.) dan Dinasti Chou (1050-256 S.M.).

Proses PembentukanPetempatan awal penduduk tamadun Hwang Ho dipercayai bertapak di Banpo yang berdekatan bandar Sian moden. Kesuburan tanah Hwang Ho berjaya menarik penduduk nomad untuk tinggal menetap dan membina petempatan serta menjalankan aktiviti pertanian dan penternakan di situ. Perkembangan petempatan awal ini telah melahirkan beberapa buah bandar. Salah sebuah bandar awal ialah Anyang, iaitu pusat kerajaan Dinasti Shang.
Dinasti Shang telah membawa banyak kemajuan, khususnya dalam usaha perluasan wilayah dan penyebaran budaya ke kawasan sekitar Lembah Hwang Ho. Semasa Dinasti Chou, tamadun ini tersebar ke bahagian selatan Sungai Yangtze.


Ciri-ciri tamadun Hwang Ho
Petempatan kekal:
Petempatan awal yang berasaskan pertanian membawa kepada kemunculan bandar-bandar di Lembah Hwang Ho.
Anyang merupakan salah satu negara kota dalam tamadun Hwang Ho. Ia terletak di kawasan tanah tinggi di Sungai Huan. Di bandar ini terdapat istana, kuil dan pusat pentadbiran. Raja, golongan pembesar dan golongan agama menetap di kawasan bandar. Bandar Anyang dikelilingi tembok untuk menghalang pencerobohan musuh. Di luar kota Anyang, wujud perkampungan-perkampungan yang didiami oleh masyarakat petani.

Organisasi sosial:
Golongan raja dan pembesar menduduki lapisan teratas dalam organisasi sosial masyarakat Shang yang diterajui oleh raja.

Lapisan bawahan terdiri daripada:

Golongan petani
– membentuk sebahagian besar penduduk
– mendiami di kawasan luar bandar (di sekeliling negara kota)

Golongan artisan
– mahir dalam teknologi gangsa
– gangsa digunakan bagi menghasilkan senjata, perisai dan hiasan kereta kuda yang digunakan oleh tentera, serta peralatan untuk upacara keagamaan. Golongan pembesar dapat menundukkan golongan bawahan kerana mereka sahaja yang mampu memiliki tentera dan senjata gangsa.

Hamba merupakan golongan yang paling bawah dalam masyrakat Shang. Perhambaan merupakan satu ciri utama dalam Dinasti Shang.

Pengkhususan pekerjaan:
Golongan tentera membantu golongan pembesar mempertahankan masyarakat. Golongan ini terdiri daripada:
-Tentera yang menggunakan kereta kuda.
-Tentera berjalan kaki.

Golongan petani merupakan tonggak ekonomi dan pentadbiran kerana mereka menghasilkan bahan makanan dan memenuhi keperluan golongan atasan. Ada dalam kalangan golongan petani yang berkemahiran khususnya dalam teknologi gangsa dan barangan tembikar pula menjadi golongan artisan.

Golongan artisan menghasilkan pelbagai barangan tembaga seperti senjata, barang tembikar dan bekas minuman serta makanan.

Hamba pula berfungi sebagai tentera paksaan, buruh paksa dan untuk tujuan korban upacara penyembahan.

Sistem pemerintahan:
Pemerintahan Dinasti Shang berbentuk pemerintahan beraja. Pengganti raja biasanya dilantik daripada kalangan saudara lelaki yang lebih muda atau anak lelaki raja. Raja mempunyai kewibawaan politik, ekonomi, sosial dan agama. Masyarakat tamadun ini percaya kuasa raja merupakan mandat daripada tuhan. Mengikut konsep ini, pemerintah yang adil akan mendapat madat. Raja yang memerintah dengan adil akan dapat mewujudkan kerajaan yang makmur dan rakyat akan menikmati kesejahteraan hidup. Sebaliknya, pemerintah yang kejam atau lemah akan kehilangan mandat. Contohnya, pemerintahan Shang kehilangan mandat akibat kezaliman mereka.
Golongan bangsawan dan pegawai kerajaan membantu raja dalam urusan pentadbiran. Golongan ini bertanggungjawab untuk mentadbir wilayah masing-masing. Mereka berhak mewujudkan sistem pentadbiran mereka sendiri. Contohnya sistem pungutan cukai, undang-undang dan pertahanan. Sistem yang sama dilaksanakan semasa zaman Dinasti Chou.
Raja Chou dibantu oleh ketua menteri dan enam badan. Badan ini menguruskan hal pertanian, tentera, kerja awam, upacara agama, undang-undang dan hal ehwal monarki. Pada peringkat wilayah, pentadbiran dikendalikan oleh pembesar-pembesar feudal. Raja-raja Dinasti Chou telah membahagikan pemilikan tanah kepada pembesar ini. Raja-raja Dinasti Chou cuba mengikat pembesar mereka melalui :
- Ikrar taat setia.
- Memberikan hadiah seperti kereta kuda, senjata gangsa, hamba dan binatang
- Diminta melindungi raja
- Memberi bantuan ketenteraan semasa perang.
Pembesar juga bertanggungjawab sebagai ketua agama untuk melaksanakan upacara pengorbanan.
Agama dan kepercayaan:
Masyarakat Hwang Ho mengamalkan pelbagai jenis kepercayaan. Antaranya ialah animisme dan politeisme serta pemujaan roh nenek moyang. Mereka juga menyembah tuhan syurga (Shang-ti) dan tuhan bumi (Tu). Upacara penyembahan biasanya diketuai oleh golongan bomoh dan melibatkan permainan muzik, tarian atau upacara korban.

                                                Tulang Oracle

Satu keunikan tamadun ini ialah jumpaan tulang binatang dan kulit kura-kura di Anyang. Tulang yang ditemui ini dikenali sebagai tulang oracle yang berfungsi meramalkan sesuatu keadaan. Tulang ini diletakkan di atas unggun api sehingga timbul rekahan ini dan disabitkan dengan sesuatu kejadian.

Bahasa dan tulisan:
Amalan penilikan tulang oracle ini mewujudkan sistem tulisan awal di China. Rekahan pada tulang-tulang tersebut memberi idea untuk mencipta tulisan. Tulisan berbentuk ideogram telah dicipta. Sistem tulisan ini berbentuk simbol. Pada asalnya, tulisan ini mempunyai gambar seperti kanak-kanak, bulan, matahari dan sungai. Lama-kelamaan tulisan ini berubah menjadi lebih kompleks sebelum hari ini.

 
 
Sumbangan tamadun Hwang Ho
Sistem pemerintahan:
Tamadun Hwang Ho amat mempengaruhi sistem pemerintan China kuno. Sistem pemerintahan monarki telah diteruskan sehingga ke zaman Dinasti Ching. Terdapat sedikit perubahan telah dilakukan, contohnya gelaran Raja ditukar kepada Maharaja. Antara perkara yang diteruskan ialah konsep anak syurga, mandat dari syurga dan amalan putaran dinasti diteruskan hingga abad ke-20.

Pembangunan pertanian:
Pembinaan sistem pengairan merupakan aspek ekonomi yang penting, memandangkan pentingnya kegiatan pertanian sejak zaman Shang. Raja bertanggungjawab membina terusan untuk mengairi kawasan pertanian dan untuk mengelakkan berlakunya banjir. Sebuah terusan juga dibina di Szechwan untuk mengairi kawasan pertanian. Kemajuan sektor pertanian di China membawa kepada terciptanya teknologi pertanian seperti teknologi pembajakan, penciptaan cankul dan sabit serta penggunaan batas untuk penanaman. Alatan pertanian yang diperbuat daripada besi mula menggantikan alatan yang diperbuat daripada kayu.

Sistem tulisan:
Sistem tulisan ideogram yang berkembang secara evolusi masih digunakan masyarakat Cina kini. Tulisan tersebut digunakan dalam bidang penulisan dan percetakan serta diajar kepada anak-anak Cina di sekolah Cina. Tulisan ini juga digunakan orang Korea dan Jepun.

Amalan dan kepercayaan:
Unsur pemujaan roh nenek moyang masih diamalkan oleh masyarakat Cina kini. Namun pengorbanan manusia dalam pemujaan roh telah digantikan dengan amalan pemberian seperti makanan, duit kertas dan barangan perhiasan.

Konsep ‘Yin dan Yang’ serta ‘Feng Hsui’ masih kuat mempengaruhi masyarakat Cina kini. Sistem kalendar telah diperkenalkan pada zaman pemerintahan Dinasti Shang. Terdapat 30 hari dalam sebulan dan 360 hari dalam setahun. Raja menggunakan kalendar untuk menentukan musim menanam dan menuai. Kalendar ini juga digunakan untuk upacara perkahwinan, pemburuan dan pengkebumian.
                          Feng Shui                                      Yin Yang
 
Pengamalan falsafah:
Falsafah perang yang diperkenalkan oleh Sun Tzu dalam karyanya yang berjudul The Art of War, membicarakan selok-belok perang dan bagaimana menangani musuh. Ia telah diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa dan diulang cetak. Pada hari ini, falsafah tersebut diaplikasikan sebagai taktik dalam urusan perniagaan.
 
The Art of War